Sejarah sekolah Sekolah_Izzuddin_Shah

Sekolah Izzuddin Shah (SIS) merupakan sekolah menengah agama yang pertama ditubuhkan di Malaysia berorientasikan sekolah berasrama penuh khas untuk pelajar lelaki dan menawarkan kedua-dua aliran pengajian agama berasaskan kurikulum institusi pengajian Islam terkemuka dunia iaitu al-Azhar serta kurikulum kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ditubuhkan pada 1959, sekolah ini merupakan antara idea cetusan Menteri Besar Perak yang pertama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tan Sri Haji Ghazali bin Jawi dan telah dinamakan sempena Ke Bawah DYMM Paduka Sultan Perak Sultan Yusuf Izzuddin Shah yang turut berkenan mencemar duli merasmikan sekolah tersebut pada tahun yang sama. Selain daripada sekolah ini, satu lagi sekolah yang mempunyai orientasi yang sama tetapi khas untuk pelajar perempuan turut didirikan setahun kemudian iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) dan terletak kira-kira 5 kilometer dari SIS dan berhampiran dengan kediaman rasmi Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Pada waktu tersebut, SIS (dan SERATA) mula membuka kelas untuk tingkatan satu dengan menerima pelajar-pelajar Melayu dari sekolah-sekolah Melayu serata Perak, khususnya di sekitar Ipoh. Kumpulan pertama pelajar SIS ini belajar sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SIS menawarkan pembelajaran sehingga kelulusan SPM dan pada awal tahun 80-an, sekolah mula menawarkan pembelajaran di tingkatan enam dengan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan menawarkan kelas tingkatan enam kepada pelajar perempuan.